KSPK
1. PENGENALAN KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN
Pendidikan prasekolah merupakan pengalaman awal yang penting dalam dunia pendidikan. Pengalaman prasekolah dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan dapat membekalkan murid dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap yang positif untuk pembelajaran yang seterusnya.Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Prasekolah Kebangssan (KSPK) adalah asas utama yang menjadi panduan guru dalam mendukung hasrat murid negara bagi menyediakan pendidikan prasekolah bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang.
KSPK digubal berdasarkan prinsip amalan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak dan teori pembelajaran kanak-kanak. Kandungan KSPK adalah berasaskan 6 tunjang iaitu:
1. Tunjang Komunikasi
2. Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai
3. Tunjang Kemanusiaan
4. Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
5. Tunjang Sains dan Teknologi
6. Tunjang Keterampilan Diri
Antara perkara yang diberi penekanan dalam penggubalan KSPK ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan secaratepat dan jelas dalam penulisan Standard Pembelajaran. Guru perlu menterjemahkan Standard Pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan penekanan kepada KBAT. Perincian dalam dokumen ini diharap dapat membantu guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Aktiviti yang dirancang perlu memberi pengalaman yang menyuburkan dan menyeronokkan, melibatkan murid secara aktif serta selamat. Guru digalakkan menggunakan kreativiti dan memilih, menyusun, mengolah dan mempelbagaikan aktiviti berpandukan Standard Pembelajaran mengikut kesesuaian murid. Kandungan yang dipelajari diperingkat prasekolah pada asasnya merupakan pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan murid sebagai persediaan untuk mengikuti pendidikan di sekolah rendah kelak.
2.OBJEKTIF KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menyediakan peluang kepada murid untuk mencapai objektif seperti yang berikut:
1. Menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan.
2. Mengamalkan nilai-nilai islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama islam
3. Mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia
4. Menghargai dan peka terhadap budaya masyarakat Malaysia
5. Menyayangi dan menghargai alam sekitar
6. Memperkembangkan konsep kendiri yang positif dan berkeyakinan diri
7. Mempraktikkan amalan kesihatan, membina kecergasan badan dan menjaga keselamatan diri.
8. Mengembangkan daya kreatif estetika
9. Mengaplikasikan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif serta kemahiran menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
3. ENAM TUNJANG KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN
TUNJANG KOMUNIKASI
Tunjang Komunikasi menekankan kepada kemahiran berbahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini mengandungi disiplin ilmu bahasa yang wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil, mereka wajib mempelajari Bahasa Cina/Bahasa Tamil.
TUNJANG KEROHANIAN, SIKAP DAN NILAI
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi keutamaan kepada aspek penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Tunjang ini mengandungi disiplin ilmu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pendidikan Islam mempelajari oleh murid beragama Islam, manakala Pendidikan Moral dipelajari oleh murid bukan beragama islam.
TUNJANG KEMANUSIAAN
Tunjang Kemanusiaan menekankan kepada penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan.
TUNJANG KETERAMPILAN DIRI
Tunjang Keterampilan Diri memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi dan pembinaan kemahiran berinteraksi serta kemahiran sosial dalam kalangan murid. Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum juga ditekankan dalam tunjang ini.
TUNJANG PERKEMBANGAN FIZIKAL DAN ESTETIKA
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika menekankan perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri serta pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi terhadap karya seni dalam kalangan murid. Tunjang ini melibatkan komponen Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan, serta dan kreativiti dan Estetika.
TUNJANG SAINS DAN TEKNOLOGI
Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik, serta pengetahuan dan kemahiran matematik. Disiplin ilmu yang terkandung dalam tunjang ini ialah Sains Awal dan Matematik Awal.
4.STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Strategi Yang Boleh Digunakan Guru Untuk Sesi Pengajaran dan Pembelajaran:
Pembelajaran Berpusatkan Murid
Pembelajaran berpusatkan murid bermaksud penglibatan murid secara aktif dalam sesuatu aktiviti pembelajaran dan mereka diberi tanggungjawab atas pembelajaran mereka sendiri. Di bawah pembelajaran berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran kerana pembelajaran digerakkan atas minat, dorongan dan keperluan murid. Murid juga diberi kebebasan untuk memilih jenis aktiviti, bahan dan masa semasa pembelajaran. Guru merupakan pemudahcara atau pembimbing yang memandu murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
Belajar Melalui Bermain
Belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana yang bebas, selamat, menggembirakan dan bermakna. Pendekatan ini diberi penekanan dalam pendidikan prasekolah kerana bermain merupakan fitrah atau tingkahlaku semulajadi kanak-kanak. Melalui proses bermain mereka akan membuat penerokaan, penemuan dan pembinaan pengalaman secara langsung dan semulajadi. melalui pendekatan ini, aspek perkembangan fizikal, sosial emosi, kognitif dan bahasa serta potensi kanak-kanak dapat ditingkatkan ke tahap yang maksimum.
Pembelajaran Berasaskan Inkuiri
Pengajaran dan pembelajaram berasaskan inkuiri merupakan satu pendekatan di mana murid membina pengetahuan dan kefahaman sendiri melalui penyiasatan dan penerokaan berasaskan pengetahuan sedia ada. Pelaksanaan pendekatan ini adalah melalui pelbagai pendekatan seperti pembelajaran berasaskan projek, penyiasatan saintifik, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran kolaboratif bagi melahirkan murid yang berilmu dan berkemahiran berfikir aras tinggi. Proses pengajaran dan pembelajaran inkuiri fokus kepada learning by doing yang melibatkan murid melaksanakan aktiviti penerokaan, penyiasatan, penyoalan, berfikir secara reflektif dan penemuan ilmu baharu.
Pendekatan Bersepadu
Pendekatan bersepadu adalah pendekatan yang menggabungjalin dua atau lebih kemahiran yang perlu dikuasai murid dalam satu masa. pendekatan ini akan dapat membantu murid untuk memahami hakikat kehidupan sebenar. dalam kehidupan sebenar sesuatu itu saling berkaitan antara satu sama lain dan bukannya sesuatu yang terpisah-pisah. selain daripada itu, guru hendaklah menggunakan pengalaman seharian murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan Bertema
Pendekatan bertema adalah pengurusan kurikulum dan pembelajaran melalui satu tema atau topik yang dipilih bersesuaian dengan masa, tempat, minat, latar belakang dan tahap perkembangan murid.
Pendekatan pengajaran bertema melibatkan perkara-perkara berikut:
-Penggunaan satu tema umum merentasi bidang pembelajaran.
-Pemilihan tema berdasarkan kesesuaian tahap murid, situasi tertentu atau peristiwa semasa.
-Saling berkaitan dengan pengalaman sedia ada dan pengalaman baru yang diperoleh secara tersusun dan sistematik.
-Perluasan dan pengukuhan pengetahuan dan kemahiran.
-Pemeringkatan daripada yang mudah kepada yang sukar dan umum kepada yang lebih spesifik.
Pembelajaran Berasaskan Projek
Pembelajaran berasaskan projek adalah proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara terancang dalam jangka masa yang tertentu. Kaedah pengajaran ini menekankan kajian dalam bentuk projek sebagai cara murid memperolehi ilmu. Proses pembelajaran ini juga biasanya melibatkan kutipan serta analisis data dan persediaan satu laporan yang betul.
Antara ciri-ciri pembelajaran berasaskan projek ialah:
1.Kaedah ini boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan.
2.Penilaian dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah ke tahap hasil yang siap.
3.Interaksi guru dengan murid adalah berbentuk bimbingan dan perundingan pada setiap tahap proses iaitu guru sebagai fasilitator.
4.Proses ini melibatkan pengumpulan bahan, maklumat, data, memproses maklumat dan data, dan pelaporan hasil serta refleksi kendiri.
5.Kaedah pembelajaran ini berasaskan kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kebolehan murid.
6.Berorientasikan dunia sebenar.
5. PERANCANGAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Perancangan jangka masa panjang dan pendek bagi aktiviti p&p dan perlu dibuat berdasarkan keperluan kurikulum.Perancangan jadual waktu berdasarkan perkembangan murid dan pelaksanaannya adalah fleksibel.
Perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah mengambil kira perkara berikut:
Ø Kebolehan dan aras perkembangan kognitif murid.
Ø Memberi peluangkepada murid untuk membuat pilihan semasa menjalankan aktiviti.
Ø Memberi peluang dan masa yang mencukupi kepada murid untuk menjalankan aktiviti penerokaan.
Ø Menggunakan bahan maujud dalam pengajaran dan pembelajaran bagi membantu murid menguasai konsep dan pengetahuan.
Ø Aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu pelbagai dan seimbang supaya pembelajaran murid lebih berkesan dan bermakna seperti: aktiviti dalam dan luar, aktiviti aktif dan pasif, aktiviti individu, kumpulan dan kelas, serta aktiviti berasaskan inisiatif murid dan aktiviti yang dirancang oleh guru.
Rujukan:
Comments
Post a Comment